|
![]() Jalanraya utama di Manila tiba-tiba menjadi lengang. Kanak-kanak, tua dan muda semua berkumpul di rumah. Tentera-tentera kerajaan Filipina yang sepatutnya ke medan perang untuk menghapuskan tentera Muslim berkumpul di markas masing-masing. Begitu pula dengan tentera-tentera MILF berbondong-bondong mencari kediaman terdekat dan melupakan sebentar bunyi bedilan tentera kerajaan. Pada hari itu, seluruh warganegara Filipina duduk di hadapan peti televisyen untuk menonton hero tinju mereka Manny Pacqiuao untuk menumbangkan peninju British Ricky Hatton. Keputusannya, Pacqiuao mengalahkan Hatton dengan KO dalam pusingan kedua. Seluruh Manila gegak gempita. Penjual ikan di Keningau yang sebangsa dengan mereka pun bersorak kegembiraan. Presiden Gloria Macapagal Arroyo yang masih dalam kunjungan rasmi di Mesir turut menerima berita gembira itu dan mengumumkan hari Isnin ini sebagai cuti umum Filipina untuk menyambut kepulangan Pacqiuao. Pacqiuao berjaya menghentikan seketika ketegangan tentera kerajaan dengan MILF. Andai kata Pacqiuau bertarung setiap hari, adakah peperangan MILF dan tentera kerajaan di selatan Filipina akan berhenti? Dan sekiranya keamanan dapat dikekalkan di wilayah berkenaan, adakah memberi kesan kepada populasi pilak di Kota Kinabalu? |
| Leave a Comment: |